Guru Besar: Selamat Datang

  • PDF

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum .

Selamat datang diucapkan kepada anak-anak Tahun 1 dan selamat kembali ke sekolah kepada anak-anak Tahun 2 hingga Tahun 6 untuk sesi 2016.

Selamat datang juga kepada para ibubapa dan penjaga serta jazakumullahukhairan kathiro diucapkan di atas kepercayaan, sokongan dan dokongan kepada kami di Al Hidayah secara umum dan SRAH secara khususnya. Moga kita dapat bekerjasama dan berganding bahu dalam mencapai matlamat terhadap pendidikan anak-anak kita.

Sempena permulaan sesi 2016, marilah sama-sama kita memulakan hari pertama persekolahan dengan niat yang ikhlas. Yakni,untuk mencari redha Allah.

Kepada anak-anak, niatkan kehadiran ke sekolah setiap hari adalah untuk menuntut ilmu, menguasainya dan seterusnya dapat beramal dengannya. Manakala para muallim dan mualllimah akan berusaha sedaya upaya untuk menyampaikan ilmu, membimbing,mendidik, mentarbiyyah dan membantu antum dalam setiap aspek yang penting sebagai seorang muslim. Dari sudut akademik, ruhiyah, peribadi dan personaliti serta akhlak. Adalah menjadi hasrat sekolah agar antum menjadi insan soleh wa musleh, yang menjadi qudwah kepada orang di sekeliling.

Bersempena dengan sesi baru ini, marilah kita juga bersama-sama berusaha dan berdoa agar kita dapat menjalankan tanggungjawab atau peranan kita dengan ihsan dan itqan. Ihsan secara ringkasnya bermaksud kita melaksanakan sesuatu pekerjaan untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT dengan perasaan yakin, pekerjaan kita dilihat dan dipantau oleh Allah SWT. Dalam ertikata lain,kita merasai kehadiran Allah SWT dalam setiap tindakan kita.

Itqan pula bermaksud melakukan pekerjaan dengan teliti, cermat ,kemas dan bersungguh-sungguh. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud "Sesungguhnya Allah sangat suka, bahkan cinta jika seseorang daripada kamu apabila melakukan kerja,maka dia bekerja dengan tekun" (Riwayat Baihaqi)

Oleh itu, sama-samalah kita menyahut seruan Nabi junjungan kita. Mudah-mudahan Allah akan membantu dan memberkati kita semua.

Wassalam.

GB SRAH
Mh Kerisisiah Bt Mohd Daud.

You are here: Home